KUALA LUMPUR - Pas menegaskan mana-mana pihak tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh mencetuskan ketegangan seperti pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, semua pihak perlu sedar bandar bandar dan luar bandar mesti dibangunkan seiring.


"Saya tekankan bahawa kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh mencetuskan ketidakstabilan, melebarkan jurang bandar dan desa.


"Paling menakutkan ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi api dalam sekam untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara.


"Kestabilan ekonomi dan politik di bandar perlu dijaga bagi mengelak timbulnya jurang perbezaan dan ketegangan kaum dalam negara. Inilah asas pembangunan seimbang di antara bandar dan luar bandar yang diperjuangkan oleh Pas sejak kemerdekaan negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mengesahkan pilihan raya PBT tidak akan diadakan kerana berkemungkinan boleh mewujudkan konflik berasaskan perkauman.


Menurut Abdul Hadi beliau telah mengemukakan pendapat senada pada Januari 2015 yang menjadi asas menguji setiakawan DAP dan PKR ketika itu masih bersama Pas dalam Pakatan Rakyat.


Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, penguasaan ekonomi perlu diambil kira bagi semua peringkat.


"Jangan dilihat penguasaan ekonomi peniaga dan penduduk bandar daripada kaum tertentu sahaja tetapi perlu juga diambil kira golongan pekerja, pemandu teksi dan peniaga jalanan serta pembekal dan petani di luar bandar yang turut mempunyai peranan membangunkan bandar.

"Semua pihak wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang mesti dijalin dengan baik. Kita perlu melihat semua kalangan dan keadaan termasuk Melayu di kampung, India di estet, orang asal di pedalaman serta kaum peribumi di Sabah dan Sarawak juga mempunyai peranan untuk memakmurkan bandar," katanya.