SHAH ALAM - Umno mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kebenaran susulan pendedahan audit terhadap Tabung Haji, hari ini.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pendedahan laporan tersebut mengundang kerisauan semua pihak.

“Saya mencadangkan agar ditubuhkan RCI yang bukan sahaja akan membolehkan kita semua mengetahui dengan lebih jelas dan terperinci tentang isu ini.

“Tetapi turut membuka ruang untuk kita sama-sama mengemukakan jalan ke hadapan yang baik dan perlu bagi mengukuhkan kembali institusi penting ini. Saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan cadangan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, laporan tersebut mesti dipandang serius dan umat Islam di Malaysia pastinya mahukan kebenaran daripada pendedahan berkenaan.

Menurutnya, ia bukan soal pembayaran hibah (dividen) yang tidak mengikut prosedur sahaja sebaliknya ia menggambarkan kewujudan krisis tadbir urus korporat dan pengurusan yang tidak mengikut amalan terbaik.

“Umno sangat serius dalam apa jua usaha memelihara kewibawaan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam. Sebarang usaha untuk memperkuat institusi ini dan menghapuskan ketirisan, pecah amanah serta salah tadbir urusnya mesti disokong oleh semua pihak.

“TH adalah institusi milik orang Melayu dan orang Islam, mereka berhak mengetahui kedudukan sebenar institusi terpenting ini. Kebenaran hanya akan terbit daripada siasatan yang telus, tidak berpihak dan menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, cara terbaik membela kepentingan Melayu dan Islam adalah dengan memastikan TH diuruskan dengan sebaiknya.

“Jangan sama sekali dibiarkan susut nilai tau dipergunakan tanpa pertanggungjawaban dan rasa bersalah oleh pihak bertanggungjawab dalam apa cara sekali pun.

“TH mempunyai nama besar dan reputasi yang baik bukan sahaja di dalam negara kita malah di persada global maka wibawanya harus dipertahankan dengan apa cara sekalipun,” katanya.